KLIK

TAIROD :Kekacauan hormon Tiroid masalah sepanjang hayat

SUDUT BACAAN:

Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@nstp.com.my) (mohon share dari blog) c/p
tingkatkn ilmu pengtahuan..

Hipotiroidisme tidak terhad pada usia tertentu, gagal dikesan kerana gejala tidak ketara, sangat umum

PENYAKIT tiroid sebenarnya masalah kesihatan yang kerap berlaku di seluruh dunia. Malah, ada kajian yang menunjukkan penyakit tiroid menjejaskan lebih 200 juta warga dunia. Antara masalah tiroid yang kerap terjadi adalah hipotiroidisme, tetapi kebanyakan pesakit tidak menyedarinya.

Secara lebih jelas, hipotiroidisme merujuk kepada satu daripada masalah gangguan hormon. Ia terjadi apabila kelenjar tiroid gagal menghasilkan hormon tiroid yang cukup untuk memenuhi keperluan tubuh.

Kelenjar tiroid adalah kelenjar endokrin berbentuk rama-rama yang secara normal terletak pada bahagian hadapan bawah leher dan berfungsi menghasilkan hormon tiroid. Hormon tiroid yang utama ialah T4 yang mengandungi molekul iodin.

Hormon tiroid penting dalam membantu setiap sel tisu dan organ berfungsi dengan baik. Justeru, ia membantu tubuh bertenaga, memastikan tubuh sentiasa panas selain otak, jantung, otot dan organ lain berfungsi dengan baik.

Dari segi angka, seorang daripada enam wanita dan seorang daripada 12 lelaki akan mengalami masalah hipotiroidisme pelbagai peringkat dalam jangka hayat mereka. Selain itu, antara 10 hingga 20 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas akan mengalami kekacauan tiroid.

Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussien, berkata kekacauan tiroid secara umum terjadi di kalangan tujuh hingga lapan peratus wanita manakala dua peratus lelaki. Malah, bagi kes hipotiroidisme kongenital (sejak lahir) ia membabitkan janin yang masih dalam rahim.

“Masalah yang paling utama, ia gagal dikesan kerana gejalanya yang tidak begitu ketara dan sangat umum. Selalunya pada peringkat awal, pesakit akan mengadu rasa letih dan mengantuk selain sakit serta sengal dengan daya ingatan atau tumpuan yang lemah. Justeru, pesakit dan doktor yang merawat akan mengaitkan simptom itu sebagai kesan tekanan atau sebahagian proses penuaan,” katanya.

Katanya, hipotiroidisme tidak terhad pada usia tertentu kerana ia boleh berlaku pada janin, malah pada warga emas berusia 80 tahun ke atas.

Beliau berkata, bagi kes hipotiroidisme kongenital, janin selalunya berhadapan dengan masalah tiroid tidak terbentuk atau tidak terbentuk dengan sepenuhnya secara normal. Ada juga kes membabitkan sebahagian atau keseluruhan tiroid berada di tempat yang salah.

“Bayi yang berhadapan dengan hipotiroidisme kongenital memerlukan penggantian hormon tiroid sejurus selepas lahir bagi mencegah kecacatan mental yang serius,” katanya.

Faktor


Penyakit Hashimoto – merujuk pada sistem imun mengganggu fungsi kelenjar tiroid
Pembedahan tiroid – pembedahan untuk hipertiroidisme, barah tiroid atau beguk.
Hipotiroidisme konjenital – ada sesetengah bayi yang lahir tanpa tiroid atau hanya sebahagian saja tiroid. Ada juga bayi yang lahir dengan sebahagian atau kesemua tiroidnya berada di tempat yang salah (dikenali sebagai ectopic thyroid). Justeru, sel tiroid atau enzim tidak berfungsi dengan baik menyebabkan mereka mengalami hipotiroidisme sejak lahir. Ada sesetengah kes, tiroid boleh menghasilkan cukup hormon untuk seketika tetapi apabila dia dewasa, jumlah itu tidak mencukupi.
Rawatan untuk hipertiroidisme – hipertiroidisme merujuk pada penghasilan hormon tiroid yang berlebihan. Ia dirawat dengan ubat-ubatan anti tiroid, iodin radioaktif atau pembedahan. Kesan daripada rawatan begini mungkin hipotiroidisme
Kekurangan iodin – Kelenjar tiroid mesti memiliki jumlah iodin yang cukup bagi menghasilkan hormon tiroid. Iodin diperoleh menerusi makanan. Memastikan penghasilan hormon tiroid seimbang memerlukan jumlah iodin yang betul. Bagaimanapun, jumlah iodin yang terlalu banyak boleh menyebabkan atau memburukkan lagi hipotiroidisme.
Diagnosis

DIAGNOSIShipotiroidisme selalunya mudah. Ujian darah diperlukan bagi mengukur hormon (dikenali sebagai ujian TSH). TSH yang normal berada dalam kadar 0.4 hingga 2.5 mU/l. Bagaimanapun, jika ia melebihi 2.5 mU/l, ada kemungkinan anda berhadapan dengan hipotiroidisme pada masa depan.

Jika tahap TSH melebihi 4 mU/l, ada kemungkinan anda menderitai hipotiroidisme. Justeru, ada pelbagai lagi ujian perlu dibuat bagi mengesahkan diagnosis dan menentukan punca ia terjadi.

Rawatan

MASALAH kekacauan tiroid adalah masalah sepanjang hayat. Justeru, rawatan hipotiroidisme bermaksud terapi penggantian hormon tiroid. Rawatan ini menggantikan apa yang tubuh tidak boleh hasilkan secara semula jadi.

Bergantung pada berat badan, keperluan metabolik dan fungsi asas tiroid, dos akan diberikan. Justeru, jika anda bertukar jenama ubat, satu ujian lain perlu dibuat kerana setiap ubat tidak sama. Di pasaran terdapat beberapa jenama terapi penggantian tiroid. Antara yang terbaru dilancarkan ialah Euthyrox daripada Merck.

Dr Arlene berkata, walaupun semua jenama penggantian hormon bertindak dengan cara yang sama tetapi pengambilan dos penggantian hormon tiroid mestilah tepat dan ia berbeza-beza mengikut jenama.

Penggunaan dos lebih rendah di kalangan pesakit yang lanjut usia contohnya sangat penting kerana risiko kardiovaskular bertambah tinggi dengan peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.

“Pada masa sama, dos lebih tinggi perlu diberikan kepada wanita hamil yang menghidap hipotiroidisme pada tempoh kehamilan mereka. Dos yang tepat sangat penting kerana ia membolehkan doktor memulakan, menguruskan dan memantau rawatan pesakit,” katanya.

Beliau berkata, dos yang fleksibel memudahkan pesakit mengambil tahap jumlah betul yang diperlukan kerana jumlah ini berbeza antara pesakit.

“Kanak-kanak memerlukan dos yang lebih tinggi apabila mereka meningkat dewasa manakala wanita hamil juga memerlukan dos yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan bayi dalam kandungan,” katanya.

Apa yang anda perlu tahu mengenai hipotiroidisme

Wanita hamil berisiko tinggi berhadapan dengan hipotiroidisme. Hormon estrogen dan hormon wanita yang lain akan menjejaskan cara tubuh mengendalikan hormon tiroid dalam sistem tubuh. Wanita yang hamil buat pertama kalinya berhadapan dengan risiko hipotiroidisme pada bulan pertama selepas bersalin kerana sistem imun yang tidak bertoleransi. Imbasan untuk hipotiroidisme pada awal kehamilan boleh mencegah masalah ini bukan saja kepada ibu tetapi kepada janin.
FAKTA: Simpton tiroid

Kadar denyutan nadi yang lemah (60 kali dalam seminit)

Kelenjar tiroid yang membesar
Kulit yang pucat, kekuningan, kering
Kuku yang rapuh
Rambut yang kering dan mudah gugur
Suara berubah menjadi parau dan serak
Pertuturan yang lambat
Sejuk apabila orang lain berasa panas
Letih
Kemurungan
Berat badan bertambah
Sembelit
Lidah tebal
Kejang otot
Jari jemari yang kebas
Tidak subur, jika hamil kandungan mudah gugur dan aliran haid bertambah

~ kpah k-poh ~

No comments:

follow me

Instagram

P/S:terima kasih pihak google/thankyou google

segala gambar-gambar yang tak de kena mengena dengan diri aku yg bukan aku yg punya tapi jugak bukan ahmad albab yg punya tapi pihak google yg punya. Harap maklum.